Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, nilai pengambilalihan itu teramat tinggi kalau dibandingkan dengan nilai pelaburan asal Splash yang berjumlah RM400 juta dan tawaran asal bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bernilai RM250 juta.

Malah, katanya, jumlah RM2.55 bilion itu bakal membawa jumlah pulangan yang luar biasa kepada pemegang saham Splash dan disebabkan itu Khalid berkeras tidak mahu berganjak daripada tawaran asal bernilai RM250 juta yang sudah dianggap adil.

“Kerajaan negeri Selangor perlu segera tampil memberi penjelasan mengapa jumlah kos pembelian Splash ini teramat tinggi dan apa rasionalnya memaksa rakyat mensubsidi ahli perniagaan? Adakah ini bererti ekonomi rakyat yang kononnya diperjuangkan Pakatan Harapan?

“Kos pembelian Splash yang tinggi ini membawa kepada satu kesimpulan iaitu dijangka tarif air akan meningkat, seperti mana yang diakui oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE