Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ledakan teknologi maklumat pada masa ini menyebabkan satu budaya yang kurang sihat wujud dalam kalangan masyarakat apabila berita palsu mudah dipercayai oleh rakyat.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, sebarang persepsi negatif yang timbul harus diuruskan dengan segera kerana tidak mustahil seorang pemimpin atau kerajaan boleh dijatuhkan hanya disebabkan oleh persepsi.

“Cuba kita lihat berapa ramai pemimpin, kerajaan dan parti politik yang tenggelam kerana persepsi yang tidak diuruskan dengan baik.

“Jika persepsi tidak diatasi dengan segera dan hanya dijawab tiga atau empat bulan kemudian, lihat sahaja apa yang telah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga lakukan terhadap Pas apabila dia tuduh Pas terima wang RM90 juta daripada Perdana Menteri dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Media Sosial UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Ahmad Zahid, ahli UMNO perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 di mana ketika itu UMNO berdepan dengan serangan persepsi yang gagal untuk ditangani.

“Sebarang isu harus dijawab dengan segera supaya persepsi negatif tentang kita dapat dipadamkan daripada menguasai minda rakyat.

“Allah menguji kita dua kali (PRU-12 dan PRU-13), ini yang terakhir untuk kita, jika gagal kali ini (PRU-14) maka lupakan segala-galanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Biro Teknologi Maklumat IT dan Media Sosial UMNO kini berada dalam tahap terbaik untuk menguruskan segala persepsi negatif yang dilemparkan terhadap parti itu.