Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Taqwa Anuar Mohamad, 50, berkata, program kali pertama anjuran pihaknya itu membabitkan 98 peserta selain berjaya menghimpunkan lebih 500 penduduk untuk turun padang menyaksikan pertandingan menangkap ikan beramai-ramai.

“Saya akui hubungan dalam kalangan penduduk sedikit renggang pada musim PRU-14 lalu kerana faktor fahaman politik berbeza.

“Jadi pihak masjid mengambil inisiatif untuk mengeratkan semula hubungan itu dengan menganjurkan program yang dinamakan Pertandingan Igak Ike ini,” katanya.

Anuar memberitahu, program itu mencapai matlamat apabila penduduk hadir beramai-ramai menyaksikannya dalam suasana muhibah.

“Apa yang membanggakan penyertaan membabitkan semua peringkat umur bermula kanak-kanak hinggalah warga emas,” katanya.

Selain menangkap ikan, program itu dimeriahkan dengan jamuan laksa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.- UTUSAN ONLINE