Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, walau bagaimanapun, kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang bakal dijalankan oleh suruhanjaya itu perlu diteliti supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek hingga mengorbankan dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran.

Sehubungan itu, kata beliau, penubuhan dan prosiding suruhanjaya berkenaan perlu ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mengelak peristiwa berdarah yang berlaku pada 19 November 1965 itu disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi.

“(Langkah penangguhan penubuhan RCI itu) adalah lebih bijak dan lebih menepati tujuan. Suasana politik negara yang tenang dan tenteram akan dapat menghindarkan daripada berlakunya apa jua niat serong mana-mana pihak untuk memperalatkan dan melakukan eksploitasi politik terhadap tragedi yang telah melibatkan kehilangan nyawa rakyat.

“Memandangkan isu ini telah berlaku hampir 32 tahun lalu selain penyediaan kertas putih yang diedarkan di Parlimen, tidak ada sebarang tindakan untuk mencari kebenaran dilakukan, saya tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk melakukannya secara terburu-buru pada masa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa menambah, penangguhan penubuhan dan prosiding RCI untuk beberapa bulan lagi akan meletakkan kredibiliti lebih tinggi kepada suruhanjaya berkenaan sekali gus akan dilihat bebas daripada suasana panas dalam musim politik menjelang PRU-14.

Katanya, beliau yakin semua pihak yang benar-benar serius dan jujur untuk mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar peristiwa Memali itu akan bersetuju dengan penangguhan penubuhan RCI itu.- UTUSAN ONLINE