Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang membayangkan keadaan tersebut  berkata, soal inilah yang perlu ditangani segera dan bersungguh -sungguh ketika PRU-14 makin hampir agar tiada cubaan `membocorkan kapal sendiri’.

“Hanya tiga isu (berhubung masalah dalaman) iaitu antara  pemimpin UMNO sesama pemimpin UMNO, pemimpin UMNO dengan wakil rakyat dan pemimpin UMNO dengan parti-parti komponen.

“Jangan bocorkan ‘ kapal’ kita ini, jika ada ada kebocoran,  tampal dan baikilah agar tidak dimasuki air. Kesetiaan dan kejujuran yang dituntut dalam perjuangan bagi menyelesaikan permasalahan ketika rakyat tidak menolak UMNO dan BN ,”ujarnya dalam satu kenyataan sempena Perhimpunan  Agung UMNO 2017.

Katanya,  kemenangan mestilah menjadi fokus seluruh ahli UMNO kerana inilah  penentuan antara hidup dan mati kedudukan agama dan bangsa Melayu yang menaungi semua bangsa bangsa dan agama lain di negara ini.

Menurut beliau, UMNO melalui kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperkenalkan banyak projek berfaedah secara konsisten untuk rakyat dan program yang membantu peningkatan taraf hidup rakyat sekin lama dengan tradisi membela rakyat.

“UMNO dan BN telah berusaha keras untuk memenuhi keperluan rakyat dan adalah diyakini rakyat menilai itu semua. Sokongan terus kuat di akar umbi khususnya di luar bandar, dan mereka masih memerlukan pembelaan untuk mencorak kehidupan lebih baik.

“Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan  bahawa kerajaan yang dipimpin UMNO dan BN ini, diterajui  oleh  Datuk Seri Najib Tun  Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta Pengerusi BN mendengar suara rakyat,”ujarnya.

Sehubungan itu juga, UMNO perlu terus bergerak ke hadapan dengan pelbagai program dan inisiatif  untuk rakyat dengan menghasilkan lebih banyak cerita kejayaan.

“Begitulah juga kita di Terengganu memberi tindakan atas apa jua masalah dan hasrat rakyat berasaskan salah satu prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB), iaitu inklusif- suara rakyat suara keramat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE