Ironinya, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, perkara itu didakwa berlaku dalam isu Tender Penyelenggaraan Sungai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana terdapat campur tangan politik di dalam keputusan tender berkenaan.

Jelasnya, seolah-olah ada sahaja tangan ‘ghaib’ yang menghalang keputusan tender yang telah dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Tender.

“Kontraktor-kontraktor telah mendapat e-mail dari DBKL pada 19 Disember 2018 lalu yang menyatakan bahawa mereka telah berjaya memperoleh tender tersebut. Namun apa yang menggembirakan kontraktor ini hanya bertahan selama 24 jam, apabila mereka datang pada keesokannya (20 Disember 2018) untuk mengambil “Surat Setuju Terima” (SST), pegawai DBKL memaklumkan SST tidak boleh dikeluarkan atas arahan pihak ‘atasan’ tanpa ada alasan yang kukuh.

“Sampai bila kontraktor terus dipermainkan sebegini, ada sahaja tangan ‘ghaib’ yang menghalang keputusan yang telah di buat di dalam Mesyuarat Lembaga Tender. Bagaimanakah satu lembaga tender yang sudah diputuskan malah kontraktor sudah mendapat email tetapi ada ‘kuasa’ yang lebih besar mempengaruhi keputusan Tender terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Razlan, beliau turut menasihatkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad agar jangan ada campur tangan politik di dalam keputusan tender.

“Jangan jadikan peristiwa bazar Ramadan di mana ahli parlimen boleh menentukan siapa yang dapat lot-lot ini berulang! DBKL perlu diberi kuasa mutlak untuk melaksanakan dasar Kerajaan PH, tapi sekiranya ada campur tangan politik di dalam pentadbiran seperti penentuan syarikat-syarikat untuk mendapatkan tender, itu akan membantutkan perancangan Malaysia Baharu seperti mana yang dilaungkan sebelum ini.

“Sudah tiba masanya memberi kebebasan kepada penjawat awam melakukan kerja mereka tanpa ada campur tangan kuasa politik,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE