Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam akaun media sosial beliau beberapa hari lalu, penganalisis politik, Lim Sian See mempersoalkan pembayaran tersebut sedangkan RM1.18 bilion hasil jualan tanah itu sepatutnya diagihkan kepada peneroka tanah serta syarikat pemaju bagi melangsaikan hutang.

Menurut maklumat yang tular dalam media sosial itu, pene­rima bayaran tersebut yang dianggap sebagai pihak ketiga ialah Hadrons Consulting Sdn. Bhd., Hadrons Capital Sdn. Bhd., FOS Advisory Services Sdn. Bhd., Yvonne Wong Yee Woon, Thangaraj Associa­tes, K&A Management Sdn. Bhd. dan Abrahim Ooi & Partners.

Sian See mempertikaikan mengapa kesemua mereka dibayar dengan jumlah hampir menyamai nilai RM300 juta yang diterima oleh peneroka tanah.

“Apakah tujuan jumlah ini dibayar kepada pihak ketiga sedangkan mereka bukannya perlu menyelesaikan hutang-hutang bank atau membayar tuntutan peneroka.

“Adakah mereka ini terdiri daripada syarikat perunding, syarikat penasihat atau syarikat pengurusan,” soalnya menerusi status akaun Facebook beliau semalam.

Dakwa beliau lagi, berdasarkan beberapa laporan media minggu lalu, wakil kerajaan negeri Selangor memberitahu sebanyak RM300 juta dibayar kepada peneroka manakala RM880 juta lagi kepada syarikat-syarikat pemaju asal termasuk untuk melangsaikan segala pinjaman dan tuntutan.

Namun dakwanya, berdasarkan maklumat dalam media sosial kelihatan seperti RM260 juta daripada RM880 juta itu telah digunakan untuk membayar pihak ketiga yang terdiri daripada tujuh pihak yang telah didedahkan.

“Apakah yang berlaku kepada baki RM620 juta lagi dan adakah jumlah itu turut digunakan untuk membayar pihak ketiga yang lain,” soalnya lagi.

Justeru, bagi merungkai segala risiko berlakunya penyelewengan wang tersebut, Sian See gembira seandainya transaksi jualan tanah itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengesan ali­ran baki wang itu disalurkan.

Beliau berkata, perkara itu mungkin perlu diberikan perhatian lebih-lebih lagi segala maklumat itu didedahkan oleh Badrul Hisham yang mengikuti skandal ta­nah Ijok sejak berbulan-bulan lalu termasuk tindakannya menyerahkan beberapa bukti kepada SPRM berhubung transaksi jualan tanah itu.