Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana skim mySalam hanya melibatkan 3.69 juta penerima daripada golongan B40.

Katanya, golongan masyarakat lain khususnya mereka dalam kalangan M40 juga berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Oleh itu, adalah lebih baik Kementerian Kesihatan fokus kepada pelaburan bagi menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang akan memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.

"Kita memerlukan hospital yang dapat meningkatkan nilai penjagaan kesihatan tanpa mengira tahap pendapatan individu terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian berhubung pelancaran skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Tambah Mohamed Khaled, sehubungan itu langkah menambah baik kualiti penjagaan kesihatan awam merupakan dasar yang lebih inklusif dan berkesan. - UTUSAN ONLINE