Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika bertemu de­ngan seorang pemimpin pakatan itu baru-baru ini.

Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan tersebut secara berterus-terang menyatakan me­reka tidak memerlukan jentera parti bagi menghadapi PRU-14, sebaliknya menggunakan jentera BN sedia ada.

“Ini satu penghinaan kepada seluruh jentera BN di Melaka dan ingin saya tegaskan, jentera kita bukan barang dagangan yang boleh dijual beli. Jika ada yang terpengaruh itu bermakna mereka bukan berjuang untuk mem­bela agama, bangsa dan negara, sebaliknya berjuang kerana wang serta kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas melancarkan Himpunan Jalinan Rakyat (JR) Plus BN Parlimen Jasin di Bemban, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BN Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalannya, Datuk Ghazale Muhamad dan Ketua Wanita BN Parlimen Jasin, Datuk Zaleha Bujang.

Mengulas lanjut Idris berkata, hasrat pemimpin pakatan pembangkang itu membuktikan me­reka tidak mampu untuk me­nyaingi kekuatan jentera BN yang sudah pasti akan berjuang habis-habisan bagi mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Pakatan itu dilihat terdesak untuk mencari sokongan dan kekuatan pada PRU-14. Taktik kotor itu tidak boleh diterima rakyat dan pengundi sudah pasti akan menunjukkan mereka jalan keluar pada pilihan raya kelak,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, semua 34,000 JR Plus BN seluruh negeri sudah digerakkan untuk menyusun strategi meraih soko­ngan rakyat pada PRU-14.