Takiyuddin Hassan

Menurut Setiausaha Agung Pas itu, beliau berterima kasih dan amat menghargai kepercayaan diberikan Pas kawasan seluruh negara yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan tertinggi Pas Pusat sedia ada serta keserasian dalam kepe­mimpinan kini yang melibatkan Presiden, Timbalan dan Naib-naib Presiden.

“Maka saya membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Pre­siden.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa Pas menuju masa depan lebih cemerlang khusus untuk menghadapi pilihan raya nanti,” jelas beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan sama, Takiyuddin turut mengumumkan menarik diri daripada bertanding satu lagi jawatan iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Katanya keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada calon-calon lain yang menawarkan diri mahu memberi perkhidmatan terbaik kepada parti.

Menjelang Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Alor Setar hujung bulan ini, Takiyuddin dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menjadi dua muka baharu yang dicalonkan untuk merebut jawatan Naib Presiden.

Turut dicalonkan ialah pe­nyandang jawatan tersebut iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar 
Samad.