Naib Presiden MCA, Datin Chew Mei Fun berkata, kemunculan pemimpin Pas di pentas MCA malam tadi hanya sekadar untuk menggesa pengundi menyokong calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

“Mereka datang untuk memberikan sokongan kepada calon MCA, Tan Chee Teong dan bukanlah menggambarkan keseluruhan kerjasama di antara kedua-dua parti.

“Sebagai ahli po­litik, peranan utama kita adalah demi kebajikan rakyat dan pembangunan negara sebab itu kita bekerjasama dengan mereka,” katanya da­lam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan muncul dalam ceramah MCA DUN Balakong dan ini merupakan kemunculan pertama melibatkan pemimpin Pas sempena PRK DUN Balakong.

Jelas Mei Fun, MCA sedia bekerjasama dengan parti atau individu yang memegang nilai-nilai murni demi membantu rakyat.

“Tapi mungkin juga ada isu MCA dan Pas tiada persamaan, semuanya bergantung kepada situasi ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Chee Teong menjelaskan, beliau me­nyasarkan untuk menjelajah ke semua kawasan dalam DUN Balakong dan mendapatkan maklum balas daripada pengundi.

“Saya sudah menjelajah hampir ke 95 peratus kawasan dalam DUN Balakong sepanjang tempoh berkempen.

“Kalau boleh, saya mahu mencapai 101 peratus kawasan supaya tiada satu inci pun tempat yang terlepas daripada perhatian,” katanya.