TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sama ada ahli kedua-dua parti boleh terima atau tidak kerjasama berkenaan seperti soal pembahagian kerusi atau calon, itu bergantung kepada pucuk kepemimpinan parti masing-masing.

“Saya rasa peringkat atasan akan meneliti perkara ini,” katanya selepas majlis perasmian Festival Belia Kelantan anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) di Pusat Sivik, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof; ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani dan Yang Dipertua MBK, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Menurut Tengku Razaleigh, BN berhak menjalinkan kerja­sama dengan sesiapa sahaja termasuk Pas bagi menghadapi PRU-14, namun jika kerjasama dari aspek lain itu memerlukan kajian teliti.

“Tidak ada salahnya kalau hendak adakan kerjasama de­ngan Pas. Kalau kerjasama de­ngan parti lain pun tidak ada beza kerana ini untuk pilihan raya. Kalau itu boleh memberi manfaat kepada parti kita, apa salahnya.

“Sebagai contoh di Gua Musang, kerana adanya kerjasama tidak ada pertandingan. Tidakkah ini berfaedah kepada pihak yang terlibat? Dari sudut itu saya rasa ada keuntungan dan beri faedah, tetapi kalau sudut lain kita kena kaji,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh, jika diteliti kebanyakan ucapan atau kenyataan pemimpin BN dan Pas, terdapat kecenderu­ngan atau mirip ke arah kerjasama terutama sekali dalam bidang agama.

Menurutnya, terdapat sesete­ngah dasar kerajaan disokong oleh Pas dan tiada salahnya diwujudkan kerjasama di medan politik seperti pilihan raya kerana itu tidak merugikan Pas dan BN.