TANGKAP layar akaun Facebook Shahril Sufian Hamdan yang mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menggalakkan pengiktirafan terhadap UEC.- UTUSAN ONLINE

Menurut Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, PH yang sering menjenamakan diri sebagai kerajaan yang lebih mementingkan perpaduan sepatutnya tidak perlu menyatakan sokongan sedemikian terhadap UEC.

Jelas beliau, hujahnya mudah iaitu dalam negara berbilang kaum, mampu mengurus masyarakat ke arah perpaduan dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka berbuatlah demikian.

"Saya ulang apa saya sebut tiga tahun dulu: nak hantar anak kie UEC, silakan. Itu hak anda. Kita bukan negara fasis nak menentukan segala pilihan individu.

"Tapi kerajaan tak perlu 'menggalakkan' dengan pengiktirafan sebegini," katanya dalam status akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Jelas Shahril Sufian, memang bukan suatu yang mudah untuk kerajaan PH mengubah legasi berdekad tetapi UEC bukan legasi besar seperti sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"Jadi bagi saya tidaklah sukar untuk mengelak dan mengangkat tahap pengiktirafan," katanya.

Kementerian Pendidikan hari ini mempelawa lulusan UEC, Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) untuk mengikuti PISMP.

Permohonan yang dibuka mulai esok dalam talian https://pismp.moe.gov.my itu turut dihebahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menerusi ciapan Twitter miliknya, hari ini. - UTUSAN ONLINE.