Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk bangkit semula tetapi dengan syarat UMNO dan semua parti komponen BN mesti bekerja kuat untuk menebus balik kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut mengakui banyak cubaan serta cabaran yang perlu dihadapi parti berkenaan yang sudah tentu memerlukan ahli dan barisan kepemimpinan baharu UMNO yang berjiwa kental, berani, teguh iman selain bukan `bercakap tidak serupa bikin’.

“Banyak cubaan dan ujian yang kita kena hadapi, kita nak orang yang berani, kuat iman dan bukan yang hanya pandai cakap saja, di depan manis tapi di belakang pula lain.

“Kalu nak bangunkan balik parti kita (UMNO dan BN) kita mesti tebus balik di peringkat Pusat dan juga negeri termasuk Terengganu, tak ada sebab tak boleh buat kalau kita bersatu hati,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menjayakan majlis Ramah Mesra Bersama Calon Presiden UMNO Yang Mulia Tengku Razaleigh Hamzah di Primula Beach Hotel di sini lewat petang semalam.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mengulas tindakan parti Gerakan keluar BN yang memutuskan keluar BN kelmarin setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk susulan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Gerakan dalam satu kenyataannya memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti berkenaan kelmarin.

Beliau seterusnya berkata, UMNO memerlukan barisan kepemimpinan yang bukan hanya mampu memimpin parti itu semata tetapi yang paling penting bertindak sebagai pemimpin kepada orang Melayu itu sendiri. - UTUSAN ONLINE