Tajuddin Abd Rahman

Beliau pada masa sama menafikan terlibat dengan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri­ (DUN) Sungai Ma­nik, Mohamad Maharani Md. Tasi.

Tajuddin me­nyi­fatkan laporan polis dibuat oleh Mohamad Maharani terhadapnya sebagai tidak ber­asas dan dilakukan oleh orang yang kecewa setelah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Bagaimanapun, beliau perlu faham soal perundangan dan perlu bertanggungjawab terhadap laporan polis yang telah dibuat. Beliau juga perlu bersedia untuk menerima tindakan undang-undang.

“Saya tiada masalah untuk disiasat kerana tuduhan itu tidak betul dan tidak berasas. Jadi, Saya akan saman beliau kerana telah memalukan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Maharani hari ini membuat laporan polis terhadap Tajuddin di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atas dakwaan sa­lah laku dan penyeleweng­an.

Dalam laporannya, Moha­mad Maharani mendakwa, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu melakukan sa­lah laku dan penyelewengan ketika menjadi Pengerusi Felcra pada 2008 hingga 2014 dengan mem­belanjakan wang agensi itu semasa PRU-13.

Beliau turut mendakwa Ta­juddin telah berjanji untuk memberikan hak milik lot-lot tapak rumah kepada generasi kedua Felcra ketika PRU-11 pada 2004 tetapi tidak menunaikan janji tersebut.

Sebaliknya dakwa Moha­mad Maharani, pemberian lot tapak rumah itu diubah daripada pemberian hak milik tapak rumah kepada pembelian rumah dengan harga RM70,000 hingga RM120,000 selepas PRU-13.

Mohamad Maharani juga mendakwa, Tajuddin terlibat dengan politik wang pada PRU-14 lalu serta mendapat beberapa kontrak termasuk membina dua jambatan di negeri ini tanpa melalui tender terbuka.