Malah, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sikap Pengerusi Pakatan Harapan itu boleh dikategorikan sebagai sikap berpura-pura yang paling tinggi pernah dipertontonkan berbanding sebelum ini.

“Sekitar 1997 dan 1998, Dr. Mahathir memaksa seluruh rakyat menanamkan perasaan Anwar seorang yang despicable (hina), tetapi hari ini atas sebab mahu jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau katakan kononnya Anwar tahanan politik tidak bersalah.

“Saya secara ikhlas yakin Anwar sendiri tidak percaya pada Dr. Mahathir, isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga sama, mereka sekeluarga terseksa, terpisah dan sengsara dengan perbuatan Dr. Mahathir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini membuat gesaan tersebut menerusi satu kenyataan bersama peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat (AS)A, Kimberly Motley kerana menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui selepas menyerahkan sumbangan cek berjumlah RM125,000 kepada tujuh buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sekitar kawasan itu. - UTUSAN ONLINE