Ahli jawatankuasa MCA pusat, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, dalam sebarang kerjasama atau perkongsian, kita perlu mewujudkan situasi 'menang menang'dan bukannya kita menang, rakan kalah atau tanggung kerugian atau kekalahan.

Beliau berkata, misalannya Pakatan Harapan walaupun mempunyai perbezaan dari segi 'content' serta perjuangan tetapi kepemimpinan berjaya mengongkong akar umbi dan pemimpin serta mewujudkan keyakinan parti dan umum bahawasanya kerjasama mereka tulen serta ikhlas di mana semua pihak dan lapisan akan mencapai keuntungan dan tiada pihak akan dipinggirkan.

"Maka persepsi perjuangan mereka seakan-akan untuk rakyat dan negara tanpa penekanan atau penolakan pada parti atau pihak tertentu.

"Formula dan semangat inilah yang menjamin kemenangan mereka. Nampak sangat perbalahan atau situasi 'zero sum game' tidak wujud dalam Pakatan berbanding dengan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengagihan kerusi mereka pun, katanya, berjalan dengan baik dan saksama tanpa sebarang dominasi. "Inilah antara pengajaran dan teladan yang BN boleh belajar dan teladani," katanya.

Tambah beliau, isu yang timbul boleh diibaratkan masalah rumah tangga dan bila ada masalah, masing-masing mula menuding jari.

"Masalah dalaman perlulah ditangani secara baik dan penuh kematangan.

"Masing-masing perlu sabar dan rendah diri. Kita sudah kalah, apa lagi yang hendak dikata. Tunggulah proses pemilihan parti masing-masing berlalu. Sementara itu kita membuat kaji diri, post mortem secara baik dan beradab.

"Janganlah atau kita elak buat kenyataan yang emosi yang boleh menimbulkan buruk sangka atau salah faham yang mendalam," katanya .

Tegas beliau, ini adalah satu cabaran kepada parti dan kepemimpinan.

Beliau yakin kepemimpinan baharu akan dapat mengatur strategi dan perjalanan ke hadapan nanti.

"Saya nasihat dan menyarankan pemimpin serta akar umbi untuk mengawal emosi masing-masing dan elak membuat kenyataan yang dapat menguris hati juga emosi parti dan memberi masa untuk pemimpin baharu menyusun langkah dan kerjasama ke hadapan.

Beliau berkata, laporan media yang tidak tepat iaitu temuramah Datuk Seri Wee Ka Siong yang disiarkan akhbar Sin Chew telah menimbulkan salah faham dan perbahasan terbuka yang tidak tepat.

Katanya, komponen parti BN harus kurangkan perbalahan antara parti berlandaskan ras, agama dan bahasa kerana rakyat sudah jelak dan bosan dengan isu-isu sempit itu.

"Inilah antara faktor yang menyebabkan rakyat khususnya dari golongan menengah menolak BN," katanya. - UTUSAN ONLINE