Timbalan Ketua Armada Bahagian ini, Ahmad Nor Azhar Muhammad berkata, sayap kanan parti itu di negeri ini tidak dapat berfungsi dengan baik khususnya untuk melaksanakan aktiviti disebabkan kekurangan dana. 

Beliau berkata, setakat ini tiada peruntukkan diberikan oleh Armada Pusat menyebabkan sukar pihaknya melaksanakan aktitivi kebajikan dan membantu rakyat.

"Saya mencabar Syed Saddiq dan exco-exconya untuk turun ke Kelantan buat perjumpaan bersama Armada dan selesaikan masalah. Saya nak tanya kepada Syed Saddiq selepas pilihan raya adakah beliau turun ke Kelantan bertanyakan masalah Armada di Kelantan.

"Saya rasa tak ada tetapi sebelum pilihan raya ada Syed Saddiq datang. Jadi di mana keprihatinan beliau sendiri kepada akar umbi. Kami bersuara mempertahankan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kerana tak ada apa yang perlu dipersalahkan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, Syed Saddiq menyelar tindakan perwakilan termasuk Abdul Rashid menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan dalam ucapan perbahasan mereka dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE