Biarpun pandangan diberikan oleh Dewan Muda Johor (DMJ) keras dan jujur, namun menegaskan, mereka tidak mahu melihat seorang menteri muda yang gagal.

Justeru, DMJ meminta Syed Saddiq bermuhasabah dan kembali kepada agenda anak muda yang sebenar dan berhenti terlibat dalam pergaduhan ‘gajah sama gajah’.

Menurut DMJ, pandangan itu dibuat kerana mereka merasakan terdapat beberapa perkara di bawah kementerian Syed Saddiq terlalu perlahan dan tidak menggambarkan agenda anak muda dan pembangunan sukan seperti diharapakan selepas setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pertama, #YouthPower. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, mereka tidak nampak naratif #YouthPower itu melainkan hanya propaganda mengajak anak muda membuat perubahan merubah kerajaan pada PRU-14 yang lalu dan apalah makna #YouthPower jika Syed Saddiq sendiri gagal membuktikan kepada masyarakat kematangan memimpin sebuah kementerian yang menjaga anak muda negara ini,” menurut DMJ dalam kenyatan di sini hari ini.

Tambah DMJ, kedua, mengenai hala tuju sukan negara yang mana sudah pasti ramai di kalangan peminat sukan tanah air tidak yakin akan hala tuju serta matlamat beliau memacu kejayaan seperti dilakukan bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

Ini kerana, menurut DMJ, dalam bakal menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, terdapat pelbagai konflik dalaman antara atlet negara selain beliau lebih menumpukan kepada sukan maya, E-Sport dan itu semua dikhuatiri bakal membawa sukan negara terkebelakang dan malap.

“Ketiga, sudah pasti kebanyakkan anak muda yang bersama Syed Saddiq dalam PRU-14 yang lalu terutama 400,000 mereka yang bekerja di Singapura ternanti-nanti janji beliau yang mahu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.

“Bukan sahaja lebih ramai kini berhijrah ke Singapura, peluang pekerjaan semakin sempit di negara sendiri malah diskriminasi rasis tingkat gaji dan kebajikan yang tidak terbela anak muda di sektor swasta langsung tidak diberi perhatian oleh beliau,” menurut DMJ. - UTUSAN ONLINE.