Menurut Syamsul, beliau melepaskan jawatan yang dipegangnya iaitu sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Cawangan Panchor, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Panchor dan Penceramah Biro Penerangan UMNO Malaysia.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu berkata, beliau juga tidak akan menawarkan diri atau bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO untuk memberi laluan kepada pemimpin lain.

“Ikhlas buat semua rakan-rakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban. Mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu, maka dengan ini saya meletakkan semua jawatan saya dalam UMNO.

“Selamat maju jaya buat sahabat-sahabat sepanjang kita bersama. Insya Allah saya akan sentiasa bersedia memberikan buah fikiran serta pandangan atas nama persahabatan serta semangat silaturahim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook ‘Syamsul Amri Ismail Official’ hari ini.

Dalam PRU-14 baru-baru ini, Syamsul tewas dalam pertandingan empat penjuru di kerusi DUN Sikamat selepas mendapat 6,419 undi.

Kerusi itu dimenangi Aminuddin Harun daripada PKR yang memperoleh 9,832 undi.

Menurut Syamsul, beliau akan memberi tumpuan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Alumni Debat Malaysia, ceramah motivasi serta program pembangunan kerjaya dan masyarakat. - UTUSAN ONLINE