SYAMSUL AMRI
SYAMSUL AMRI

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban itu berkata, desas-desus mengenai dia akan dicalonkan di kerusi tersebut akhirnya terjawab dengan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Syamsul turut mengakui berdepan tanggungjawab berat kerana dijangka bertembung dengan Pengerusi gabungan pembangkang PKR negeri, Aminuddin Harun yang juga penyandang kerusi DUN Sikamat.

“Ini adalah pengalaman saya yang pertama sebagai calon BN dan saya berjanji akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan BN di DUN Sikamat.

“Saya menggalas tugas yang berat kerana bertanding di kerusi yang disandang oleh pembangkang selama dua penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Watikah kepada Calon Parlimen dan DUN Sempena PRU-14 Peringkat Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini.

Pada PRU-13, Aminuddin daripada PKR menang dengan memperoleh 8,584 undi, menewaskan calon BN, Wan Salwati Abdullah yang mendapat 8,074 undi.

Sementara itu, calon paling berpengalaman di Negeri Sembilan, Datuk Seri Hasan Malek, 72, yakin golongan muda akan terus bersama BN dalam PRU-14 bagi memastikan kejayaan negeri ini.

“Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana masih memberi kepercayaan dan peluang sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah.

“Justeru saya berjanji akan bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN pada PRU-14,” katanya.

Beliau yang merupakan Duta Besar Malaysia ke Kemboja melahirkan keyakinan untuk menjadikan Kuala Pilah kubu kuat BN kerana jumlah undi yang diperoleh di kawasan itu sejak tiga penggal lalu meningkat.