Jelasnya, Malaysia telah berjaya hidup aman dengan cara dan pendekatan tersendiri sejak mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu.

“Setelah 61 tahun kita merdeka, kita berjaya hidup aman dan damai dengan cara dan pendekatan kita tersendiri. Mengapa pula tiba-tiba ICERD ini diperlukan untuk mengajar kita.

“Tidak lain dan tidak bukan, ICERD ini hanyalah alat pihak-pihak tertentu untuk mencabar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa merasmikan Majlis Istiadat Penyampaian Bengkong Dan Sijil Pertubuhan Seni Silat Segerak Malaysia Kali Ke-4 di Pulau Melaka, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir YDP PESAKA Kelantan, Ruslan Zakaria, Pengerusi WARIS Kelantan, Mohd. Fauzi Abdul Aziz; Penasihat Agung ALTERAS Malaysia, Azihan Ibrahim dan hampir 30 guru-guru utama Pertubuhan Silat dari seluruh negeri Kelantan.

Tambah beliau, hak-hak orang Melayu dan Islam tidak boleh disentuh dengan mudah kerana perkara tersebut telah lama termaktub dalam perlembagaan negara.

“Sepertimana kita tidak pernah menyentuh hak-hak kaum lain, kita juga tidak mahu ada mana-mana pihak yang menyentuh hak-hak orang Melayu dan Islam yang telah termaktub dalam perlembagaan.

“Saya memohon agar Datuk Megat Zulkarnain, Presiden PESAKA untuk menyeru semua pesilat-pesilatnya. Cukup, jangan sesekali hak orang Melayu dan Islam diusik. Perkara ini tidak perlu dipersoalkan lagi.” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE