Pandangan itu dilontarkan oleh veteren UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan situasi itu adalah berikutan kedua-dua parti mempunyai perjuangan serta haluan yang berbeza.

Tambah Razaleigh, apatah lagi BN dan Pas sudah ‘bercerai’ sejak sekian lama dan untuk kembali bersatu berjuang dalam arena politik negara dilihat sesuatu yang rumit.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis lalu, itu adalah percubaan pertama kerjasama antara BN dan Pas. Tak tahu lah gagal atau tidak, tapi zahirnya tidak berjaya berdasarkan keputusan yang diperolehi pada PRK itu.

“Kerjasama dan perjuangan kedua-dua gerakan parti, saya rasa susah untuk berlaku di peringkat bawahan kecuali diberi masa dan pentingnya penanaman fahaman bersatu untuk negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerjasama antara BN dan Pas dalam dua PRK iaitu di kerusi Sungai Kandis dan Seri Setia.

Tambah Razaleigh yang juga merupakan ahli Parlimen Gua Musang, kerjasama antara kedua-dua parti itu memerlukan rundingan yang mendalam dalam tempoh masa yang lebih lama supaya kata sepakat dapat dicapai.

“Kerjasama BN dan Pas perlu dilihat menerusi kes demi kes seperti kerjasama mereka dalam PRK Sungai Kandis.

“Rundingan betul-betul pwrlu diadakan, bukan sahaja di peringkat tampuk kepimpinan, malah akar umbi supaya kedua-dua pihak faham tujuan serta objektif adakan kerjasama,” katanya. - UTUSAN ONLINE