Menurut Perdana Menteri, beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memang mahu melihat SUPP kembali menjadi parti pilihan rakyat seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti komponen utama membentuk BN di Sarawak.

Katanya, harapan tersebut tidak mustahil menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang berdasarkan kepada pengamatannya terhadap semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli SUPP di bawah pimpinan Kui Hian pada ketika ini.

“Berdasarkan tayangan yang ditunjuk semasa ucapannya, Dr. Sim (Kui Hian) ada menyebut bahawa SUPP pernah hampir mati sebelum ini. Analogi itu digunakan untuk menggambarkan SUPP disebabkan beliau merupakan seorang doktor (pakar jantung) yang sentiasa dekat dengan perkataan ‘hidup dan mati’.

“Beliau rasa SUPP hampir mati sebab semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, parti itu hilang enam daripada tujuh kerusi Parlimen yang disandang sebelum itu,” katanya dalam ucapan dalam majlis Penutupan Perwakilan SUPP Ke-24 di Ibu pejabat SUPP di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden SUPP, Datuk Richard Riot Jaem serta dua bekas Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Pada PRU-13, BN Sarawak tewas di enam kerusi yang kesemuanya diwakili SUPP iaitu Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang yang dimenangi DAP dan Miri (Parti Keadilan Rakyat).

Parti itu hanya memenangi Parlimen Serian melalui Richard Riot, sekali gus menyaksikan tiada wakil Cina dari Sarawak dalam Kabinet Persekutuan.

Mengulas lanjut, Najib sambil berjenaka berkata, baki satu kerusi yang tinggal itu, ibarat SUPP tidak lagi berbaju.

“Namun, anda (SUPP) telah belajar daripada pengalaman ‘hampir mati’ itu. Saat ini (hampir mati) biasanya orang akan menjadi semakin bijak dan kuat sebab tidak mahu mati,” katanya.