Perdana Menteri berkata, pelantikan itu sebaliknya merupakan keputusan oleh pihak Pakatan Harapan (PH) Johor.

“Sultan tidak mempunyai pengaruh. Saya rasa ia adalah keputusan PH Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 ‘Memartabatkan Hak Orang Asli’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Konvensyen itu merupakan inisiatif kerajaan untuk mengkaji dan menambah baik peranan serta keperluan sistem pentadbiran dalam menjaga hak dan kepentingan Orang Asli seperti dinyatakan dalam Manifesto Harapan, Janji 38 iaitu ‘Membela nasib Orang Asli di Semenanjung Malaysia’.

Upacara angkat sumpah Exco yang baharu dilaporkan berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor pagi ini.

Sementara itu, Perdana Menteri juga ditanya berhubung desakan pemimpin DAP agar kerajaan menghentikan amalan mengutamakan pelajar-pelajar bumiputera dalam program matrikulasi.

Dr. Mahathir berkata: “Kita akan kaji permasalahan ini.”

Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Leong Yu Shen dilaporkan hari ini sebagai berkata, amalan terbabit bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan untuk tidak mendiskriminasi rakyat. - UTUSAN ONLINE