Sejak Suhakam ditubuhkan di negara ini iaitu pada 1999, sambutan Hari Hak Asasi Manusia hanya diadakan pada 10 Disember setiap tahun atau lewat sehari dua selepas tarikh tersebut.

Menurut Penganalisis Undang-Undang dan Politik Tanah Air, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek, sambutan Hari Hak Asasi Manusia tidak pernah dianjurkan lebih awal dan di kawasan terbuka, sebaliknya hanya diadakan di dalam dewan atau hotel.

"Saya musykil kenapa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menghadiri #DaulatHimpunan 812 sedangkan tujuan himpunan itu sama dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia itu.

"Kemusykilan itu bertambah besar apabila Suhakam tidak bersama menyertai himpunan tersebut, tetapi merancang program yang mempunyai tujuan yang sama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Abdul Halim, Suhakam sepatutnya kembali kepada objektif asal penubuhannya iaitu membantu kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan kemanusiaan dan kezaliman.

Kata beliau, tindakan Suhakam menganjurkan program yang sama pada hari yang sama dengan #DaulatHimpunan 812 seolah-olah ingin bersaing dan memecahkan kehadiran orang ramai.

"Penganjur #DaulatHimpunan 812 telah lama merancang untuk mengadakan himpunan pada Sabtu ini, Suhakam sepatutnya bersama menyokong, bukan mengadakan program yang sama pula," katanya. - UTUSAN ONLINE