MOHD. AMIRUL AKHBAR
MOHD. AMIRUL AKHBAR

Kelebihan itu juga dapat dilihat menerusi kedudukan kerusi di dalam Dewan Rakyat yang menunjukkan GPS sebagai sebuah blok baharu dalam menyatakan suara dan aspirasi rakyat Sarawak.

Menurut Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, wakil rakyat dari Sarawak mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam Dewan Rakyat.

“Kewujudan blok baharu dalam Dewan Rakyat nanti memberi kelebihan kepada Sarawak apabila suara dan aspirasi mereka lebih didengari.

“Dekat situ juga akan berlaku proses ‘give and take’ antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kehendak rakyat Sarawak kelak boleh disalurkan secara terus kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu jalinan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah perlu untuk menyokong pembangunan di Sarawak.

“Apa yang berlaku hari ini adalah aspirasi rakyat yang inginkan satu perubahan dari segi pentadbiran dan pucuk pimpinan.

“Sementara, suara rakyat Sarawak pula akan jadi lebih jelas kerana mereka mempunyai blok sendiri di dalam Parlimen,” katanya.

Parti komponen di Sarawak bertindak keluar daripada BN selepas Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat keputusan sedemikian dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pagi tadi.

Tambah Mohd. Amirul Akhbar, tindakan itu menunjukkan kematangan politik di Sarawak yang mahukan kepentingan rakyat di sana diutamakan. - UTUSAN ONLINE