Pengawai Khas kepada Abdul Khalid, Faekah Husin menyifatkan tindakan Shuhaimi itu sebenarnya telah diduga memandangkan taktik yang sama pernah digunakan oleh kepimpinan PKR terhadap bekas Menteri Besar itu dalam kes Langkah Kajang pada tahun 2014.

Malah, taktik seumpama itu jelas beliau bukan sahaja tidak bertangungjawab, tetapi turut menunjukkan kegagalan Shuhaimi dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai skandal tersebut yang jelas merugikan rakyat Selangor.

"Kenyataan Shuhaimi, iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar (Mohamed Azmin) itu langsung tidak menjawab isu pokok, yakni mengapa kerajaan negeri berusaha menyelamatkan (bail out) syarikat pemaju yang curang kepada peneroka, pembeli rumah dan kerajaan negeri.

"Sebaliknya beliau lebih membuat serangan peribadi terhadap Tan Sri Abdul Khalid dan terhadap saya sendiri. Serangan itu disambut pula oleh sekawan kartel (penyokong Mohamed Azmin) yang kini turut merasai bahang dan kepanasan disebalik isu yang dibangkitkan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Shuhaimi dalam satu kenyataan menuduh Abdul Khalid kononnya menfitnah pentadbiran Selangor yang dipimpin oleh Mohamed Azmin berhubung skandal penjualan tanah dianggarkan seluas 880 hektar di mukim Ijok bagi meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda itu turut mendakwa Abdul Khalid, Faekah dan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpakat menyerang kerajaan negeri bagi memberikan gambaran buruk terhadap kepimpinan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar.

Pada 15 Februari lalu, Abdul Khalid Ibrahim mahu pihak berkuasa menyiasat tindakan kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin menyelesaikan skandal tanah di mukim Ijok yang disifatkannya bukan amalan terbaik. -

UTUSAN ONLINE