Menurutnya, beliau tidak pernah melihat kumpulan lelaki itu yang mengadakan sidang akhbar hari ini bagi meminta pucuk pimpinan PH tidak mencalonkannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Rantau.

“Saya tidak kenal siapa mereka. Saya tak tahu dari mana mereka datang. Saya percaya mereka bukan dari PKR. Mungkin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya tidak pasti.

“Saya tidak mahu layan isu yang dibangkitkan mereka. Saya akan teruskan kerja dan serahkan kepada pucuk pimpinan PH buat keputusan siapa yang akan dicalonkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH Dewan DUN Rantau meminta pucuk pimpinan parti supaya tidak mencalonkan Streram bagi kerusi DUN Rantau.

Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata, walaupun Streram dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi beliau bukan anak jati DUN Rantau dan tidak akan mendapat sokongan pengundi tempatan.

Kumpulan itu sebaliknya menyatakan sokongan kepada Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Rembau, Saparin Musa yang merupakan anak jati Rantau untuk bertanding dalam PRK tersebut.

Dalam pada itu, Streram berkata, jika beliau ditolak oleh penduduk Rantau sudah tentu beliau tidak dipilih sebagai Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dalam pemilihan parti itu baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE