Katanya, ia penting kerana terdapat semua kaum yang memerlukan bantuan sama ada dalam kalangan Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum dalam kawasan DUN tersebut.

"Saya beritahu (Streram) jaga Melayu, ramai yang susah di sini, Cina di sini bukan semuanya tauke, semua kita kena tolong.

"Tidak mungkin kita hanya mahu wakil rakyat Melayu dalam kawasan majoriti Melayu, Cina di kawasan majoriti Cina. Jika begitu di mana hendak letak calon India. Sebab itu di Rantau kita letak India," katanya dalam ceramah di pekan Rantau di sini malam tadi.

Menurutnya, beliau berharap perkaitan kaum tidak digunakan dalam kempen PRK tersebut kerana ia boleh membawa kerosakan kepada negara.

"Ini adalah Malaysia baharu. Saya tidak suka rakyat negara ini bergaduh kerana kaum. Sebab itu, kita kena jaga politik di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa pengundi yang tinggal di luar Rantau balik menunaikan tanggungjawab masing-masing semasa hari pengundian kelak.

Jelasnya, PRK itu penting kepada semua pengundi tanpa mengira kaum bagi meneruskan kesinambungan kemenangan PH dalam pilihan raya umum lalu.

"Mari kita sama-sama berpakat membangunkan negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE