Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, manifesto khusus untuk Kelantan tersebut bagaimanapun masih dirangka dan perincian mengenainya akan diumumkan selepas dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Kita akan kenal pasti tapak yang sesuai untuk membina stadium baharu tersebut, iaitu sama ada di Pasir Puteh atau Machang," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Baharu Selising, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising,Zulkefli Ali dan ADUN Semerak, Datuk Zawawi Othman.

Mengulas mengenai pasar baharu Selising, Mustapa berkata, projek yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bernilai RM5 juta dan bertujuan menggantikan pasar lama yang terbakar pada 18 Disember 2015.

Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan berkata, pembinaan pasar itu akan membolehkan 70 peniaga terjejas mempunyai tapak berniaga baharu yang selesa, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Ini adalah hadiah kepada rakyat Selising yang memilih UMNO dan BN dalam PRU-13. Pasar baharu ini dijangka siap dibina dalam tempoh setahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE