CAMERON HIGHLANDS 16 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan seorang wanita hampir tiga jam berhubung kes gambarnya yang sedang mengagihkan wang kepada sukarelawan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tular di media sosial sejak Ahad lalu.
Difahamkan wanita tersebut tiba di bilik operasi SPRM Cameron Highlands di sini pada pukul 7 malam semalam bersama tiga individu dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH).
Beberapa individu lain dalam gambar tular itu juga difahamkan turut dipanggil SPRM bagi memberi keterangan.
Wanita terbabit meninggalkan bilik operasi SPRM Cameron Highlands pada pukul 9.50 malam.
Sebelum ini tular di media sosial beberaa keping gambar seorang wanita yang memakai baju PH sedang mengedarkan wang kepada Orang Asli dan kejadian itu didakwa berlaku selepas proses penamaan calon Sabtu lalu. - UTUSAN ONLINE