Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Tan Sri Dr. K. Kenneth Eswaran berkata, sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat sumber kekayaan Dr. Mahathir dan anak-anaknya yang dikatakan mempunyai saham dalam pelbagai syarikat.

“Masanya telah tiba untuk Dr. Mahathir menjelaskan mengenai kekayaan yang dimiliki dia dan anak-anaknya.

“SPRM perlu menyiasat Dr. Mahathir dan anak-anaknya me­ngenai kekayaan dan saham dalam pelbagai syarikat yang mereka telah kumpul sepanjang dia menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, pengendali blog, Raja Petra Kamarudin menerusi portal Malaysia Today mendakwa Dr. Mahathir memberi Kit Siang RM1 bilion bagi membolehkannya menjadi Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Perjanjian bayaran itu juga didakwa meliputi beberapa per­kara lain termasuk Kit Siang tidak akan mendedahkan skandal urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara dan memberikan kerusi Parlimen selamat untuk anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Kenneth Eswaran, Dr. Mahathir ketika masih menjadi Perdana Menteri pernah menyatakan gaya hidup mewah adalah bukti kepada amalan rasuah.

Walau bagaimanapun katanya, Dr. Mahathir perlu sedar ketika memerintah, kea­daan sama juga berlaku di mana individu tertentu dalam kerajaan termasuk ahli keluarganya mengumpul aset dan kekayaan melebihi gaji mereka.

“Dr. Mahathir adalah ahli politik yang licik semasa menjadi Perdana Menteri dan adalah kurang cerdik jika dia tidak menyedari wujudnya amalan rasuah ketika masih berkuasa.

“Malah baru-baru ini Dr. Mahathir memberitahu dia hanya mempunyai sebuah rumah. Hakikatnya dia memiliki sekurang-kurangnya tiga buah rumah. Sekiranya dia tidak ingat lokasi rumah-rumah tersebut, kami berbesar hati untuk menunjukkannya,” ujarnya.