Menurut sumber, SPRM kini sedang menyiasat Naib Presiden MIC tersebut.

“SPRM akan memanggil in­dividu yang terlibat, dipercayai beberapa lagi yang akan dirakam percakapan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pe­­suruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu namun enggan me­ngulas lanjut.

“Siasatan berhubung perkara itu sedang berlangsung,” kata­nya.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Pada 4 Jun lalu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, 59, memfailkan petisyen dengan memohon pembatalan perisytiharan keputusan PRU-14 kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk me­ngundinya.

Beliau mendakwa Sivarraajh ketika berkempen telah memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyara­kat Orang Asli melalui ketua kampung untuk memastikan mereka mengundi calon BN.

Pada PRU-14 Mei lalu, calon BN itu memperoleh 10,307 undi mengalahkan Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan de­ngan 9,710 undi.