Mohd. Hashim
Mohd. Hashim

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, dakwaan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik di Terengganu bahawa mustahil SPR akan meluluskan logo rasmi Pakatan Harapan adalah tidak berasas.

Walau bagaimanapun dalam masa sama beliau menjelaskan, setakat ini tiada sebarang permohonan berkaitan (logo) itu dikemukakan kepada SPR.

“SPR berpandangan dakwaan itu juga berniat serong untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap SPR serta mengelirukan rakyat.

“Dakwaan bahawa pendaftaran logo tidak mungkin diluluskan oleh SPR adalah kenyataan yang bersifat pramatang dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Hashim berkata, SPR difahamkan status pendaftaran gabungan parti-parti dan simbol parti berkenaan masih belum diluluskan oleh ROS.

Menurut beliau, selepas permohonan untuk pendaftaran simbol parti berkenaan diluluskan oleh ROS dan sekiranya dirujuk kepada SPR tindakan selanjutnya mengikut undang-undang akan dibuat oleh SPR.

Mohd. Hashim merujuk kepada laporan sebuah akhbar dalam talian bertajuk ‘Mustahil SPR lulus logo’ yang memetik kenyataan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik di Terengganu yang disiarkan semalam.

Menurutnya, dalam laporan tersebut pemimpin berkenaan berkata, adalah mustahil untuk SPR meluluskan penggunaan logo rasmi Pakatan Harapan dalam pilihan raya walaupun logo itu diluluskan ROS.