Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk itu SPR perlu menjalankan siasatan mengikut peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 terhadap Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada pengundi.

“Pergerakan pemuda UMNO Malaysia telah membuat satu laporan polis berhubung cubaan membeli undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih oleh PH.

“Pemuda UMNO diwakili Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 10:00 malam,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Katanya, pemuda UMNO mendesak agar laporan ini disiasat secara adil dan perlu disegerakan kerana jelas menyalahi undang-undang. - UTUSAN ONLINE