Sehubungan itu Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengenai larangan semasa hari penamaan calon.

“Antara lainnya, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk PRK P.186 Sandakan, pusat penamaan calon telah ditetapkan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan.

Sementara itu, Azhar memberitahu, orang ramai serta penyokong-penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen itu, menurutnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Parti-parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan di dalam suasana yang selesa dan aman,” katanya.

Pada hari penamaan calon berkenaan, tambahnya, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara pukul 9 sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Sekiranya mana-mana bakal calon telah membayar deposit pilihan raya terlebih dahulu, ingin diperingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, diperingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya. - UTUSAN ONLINE