Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah sebaliknya menegaskan, sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah telus dan adil serta bukan seperti yang digambarkan oleh pihak tersebut.

"Pada PRU-14, SPR akan menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya untuk meninjau ketelusan proses pilihan raya. Mereka ini terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara.

"Pemerhati tempatan terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik manakala pemerhati antarabangsa pula terdiri daripada pelbagai negara yang mewakili negara-negara Komanwel, ASEAN dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE