Tegas Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak terkejut kerana baginya sudah menjadi lumrah untuk pembangkang di negara ini yang tidak pernah memuji sebarang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan.

“Itu kerja dia (pembangkang). Apa yang dia pernah puji langkah kerajaan ini, satu pun dia tidak puji, jadi apa kita nak hairan,” katanya dalam sidang akhbar selepas syarahannya bertajuk Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara dalam Siri Forum Kementerian Dasar Awam Intan 2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid ditanya pemberita mengenai pandangan beliau apabila ada pihak khususnya parti pembangkang yang mempolitikkan tentang pelantikan Hishammuddin.

Kelmarin, Lim Kit Siang di dalam catatan blognya mendakwa, pelantikan Hishammuddin bersifat politik kononnya untuk mengetuai kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan UMNO selain hilangnya keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap beberapa menteri.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menambah, beliau hanya menjalankan amanah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang diberikan kepadanya dengan penuh ikhlas selagi tidak melanggar perintah dan larangan Allah.

“Kita perlu ikhlas, bukan untuk menjaga hati seorang dua atau memperlihatkan diri kita kuat bekerja sedangkan tidak mempunyai keikhlasan yang tinggi. Saya tidak merujuk kepada sesiapa.

“Saya sendiri pernah dipertikaikan. Saya tidak ambil peduli, malah jalankan tugas dan tanggungjawab selagi tidak lakukan kesalahan kepada Allah, tidak menyalahi undang-undang dan etika kerja,” katanya.