Utusan Malaysia menghubungi, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk mendapatkan maklumbalas serta mengetahui impak awal kerjasama Pas dan UMNO di negeri ini.
 

UTUSAN: Apa pandangan Datuk tentang kenyataan asal Guan Eng yang menganggap Pas dan UMNO telah mengisytihar perang kepada bukan Melayu di negara ini?

 

CHE ABDULLAH : Pas adalah sebuah parti yang ada dasar perjuangan dan dasar perjua­ngan kami adalah Islam. Islam memberi jaminan keselamatan kepada semua baik orang Islam, bukan Islam bahkan seluruh makhluk lain kerana ini arahan daripada Tuhan.

Pas berpegang kepada arahan Tuhan, berbeza dengan Guan Eng yang tidak tunduk kepada Tuhan, dia hanya ikut kehendak akal fikiran sebab itu ramai kini berani hina Nabi, berani buat khianat kepada orang Islam.

Orang yang tiada pantang larang sebegini akan berani buat kenyataan apa sahaja yang menyebabkan bukan sahaja orang lain rasa tidak selamat bahkan dia sendiri tidak selamat. Dia sebagai seorang menteri kerajaan tidak sepatutnya buat kenyataan rasis dan provokatif.

Adakah Guan Eng sebenarnya takut apabila UMNO dan Pas mengumumkan kerjasama secara rasmi?

Ya, dia takut bila orang Islam bersatu, kalau nak dikira dia telah menyatukan bila­ngan orang yang sangat besar untuk menewaskan Melayu dan Islam semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi sekarang bila orang Islam mula bersolidariti dia takut.

Apa peranan sepatutnya dibuat Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan?

Pimpinan PH sepatutnya melihat supaya barisan dalam kerajaan tidak memainkan sentimen perkauman dengan begitu kuat. Perlu pastikan jaminan hak dalam Perlembagaan Persekutuan dipertahankan.

Cuma kita pelik hari ini di mana isu perkauman dimainkan oleh pimpinan kerajaan sendiri, kalau rakyat yang buat ia perkara biasa sejak dahulu lagi, tetapi sekarang khusus­nya selepas PRU-14 provokasi dimainkan sendiri oleh pe­mimpin kerajaan.

Berbalik kepada kerjasama antara UMNO dan Pas, bagaimana penerimaannya di negeri ini?

Kita yakin rakyat Kelantan khususnya penyokong Pas tidak akan menentang sesuatu yang membawa kebaikan. Orang Pas sejak dahulu lagi patuh kepada segala arahan, sejarah kita dahulu pernah bergabung dengan UMNO, Semangat 46 malah sepentas dengan DAP.

Segala keputusan yang kita buat adalah demi kepentingan Islam dan bukannya kerana jawatan. Kita sanggup bersama UMNO selepas rusuhan kaum pada 1969 dan kemudian selepas ditendang dari Barisan Nasional (BN) semua menteri kita dalam Kabinet juga meletak jawatan kerana bukan itu yang kita rebut.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 17 Mac ini ayang pertama selepas pengumuman kerjasama rasmi, apakah yang boleh rakyat jangkakan dengan kedudukan 37 kerusi disandang Pas, 7 dari UMNO (BN) serta satu kerusi PH?

Masih terlalu awal untuk kita perkatakan, dari segi ge­rak kerja parti juga belum ada sebarang arahan bagaimana bentuk kerjasama peringkat negeri. Kita juga belum ada pertemuan rasmi dengan UMNO negeri. Kita tunggu arahan dahulu dan buat masa ini jalankan sesi penerangan untuk ahli dan penyokong.