Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun Ahmad Faizal merupakan satu-satunya wakil Bersatu di negeri tersebut, namun setakat ini beliau berjaya menguruskan situasi dengan baik.

Dalam masa sama, Wan Saiful berkata, Ahmad Faizal mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk barisan Exco yang menyokongnya sebagai Menteri Besar.

“Saya baru ke Perak minggu lalu dan saya rasa sokongan terhadap Peja (Ahmad Faizal) kuat. Dalam politik, adalah menjadi perkara biasa jika ada desas-desus untuk menggantikan seseorang itu sebagai Menteri Besar.

“Hasil perbincangan saya dengan pelbagai parti dalam PH di Perak sebelum ini mendapati sokongan terhadap Peja sangat kuat termasuk daripada barisan Exco dan ADUN -ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bimbingan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus terdapat usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Semalam, tular rakaman audio yang didakwa melibatkan kritikan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak terhadap ADUN Chenderiang itu.

Berdasarkan rakaman berdurasi 4 minit 22 saat itu, individu tersebut mendedahkan beberapa perangai Ahmad Faizal yang tidak disenanginya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, pihak yang dikatakan terlibat itu sudah menafikan bahawa rakaman audio yang tular itu adalah suaranya.

“Jadi saya yakin Ahmad Faizal dapat menguruskan sebarang isu dan perbezaan pandangan ini dengan baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE