Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil kajian, pihaknya mendapati rakyat sememangnya mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas memberi kepercayaan kepada PH menerajui negara.

“Ia bukan perkara luar biasa kerana perubahan kerajaan di mana-mana negara sekali pun menunjukkan pola yang sama.

“Rakyat nyatakan kegusaran terhadap isu kehidupan yang berkait rapat dengan mereka, namun kebanyakan kajian menunjukkan hanya dalam penggal pertama pemerintahan populariti merosot, dan kembali meningkat dalam penggal kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Tambahnl beliau, ketidakpuasan hati rakyat mula berlaku apabila apa yang dikehendaki menerusi manifesto dan janji PRU-14 belum ditunaikan.

Dalam masa sama katanya, penurunan sokongan itu juga berlaku atas dasar naluri manusia yang mahukan perubahan dalam tempoh singkat.

“Bagaimana mahu selesaikan masalah berpanjangan selama 60 tahun hanya dalam tempoh sembilan bulan?...Ia perlukan masa, namun naluri manusia mahu perubahan segera dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan baharu juga telah memberi kebebasan media seluas-luasnya sehingga mereka membentuk pemikiran rakyat bahawa terdapat harapan belum ditunaikan. - UTUSAN ONLINE