Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi sebahagian daripada kandungan ucapan dasar yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk dibahaskan oleh perwakilan ketika menyempurnakan perasmian muktamar tahunan itu kelak.

Tanpa menyebut sama ada ia mempunyai kaitan dengan UMNO bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dan bangsa dalam cabaran semakin hebat kini, Menteri Besar yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, persoalan hanya akan diketahui pada muktamar nanti.

“Tunggulah,” katanya selepas merasmikan Seminar Kearifan Tempatan - Tekstil 2018 di Muzium Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Bahrin A Kassim dan Pengarah Muzium negeri, Che Muhamad Azmi Ngah.

Kira-kira 10,000 orang dijangka hadir dalam muktamar yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak manakala bagi Dewan Pemuda Pas bakal di di Stadium Negeri, Dewan Muslimah di Taman Tamadun Islam (TTI) dan Majlis Syura Ulama di Hotel Permai.

Soal kerjasama dua parti ini semakin kerap diperkatakan umum kini ekoran landskap politik yang berubah dengan ketara sekali gus menuntut diketepikan perbezaan bagi mengukuhkan semula kuasa politik Melayu.

Menurut beliau, selain itu Abdul Hadi juga dijangka menggariskan beberapa hala tuju Pas untuk dipertimbangkan oleh kepemimpinan Pas di setiap peringkat seiring dengan suasana politik negara semasa.

“Contohnya mengenai kepentingan untuk memastikan Islam sebagai agama persekutuan dipertahankan dan kebajikan rakyat terutama yang menjadi majoriti dalam negara ini terpelihara, begitu juga dari segi budaya dan akhlaknya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE