Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seandainya Wan Muhammad Azri melanggari Perlembagaan Persekutuan, bagaimana pula kenyataan yang dikeluarkan beberapa individu lain termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang didakwa boleh mencetuskan kemarahan ramai pihak.

“Saya difahamkan ada 150 laporan terhadap beliau (Waytha Moorthy), tetapi nampak tiada tindakan diambil setakat ini. Katanya pihak polis memanggil beliau.

“Begitu juga dengan hal rusuhan kuil baru-baru ini, beberapa kenyataan yang terkeluar boleh mencetuskan provokasi dan akhirnya menjurus kepada pergaduhan besar. Sekiranya Wan Muhammad Azri boleh ditahan, bagaimana yang lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah anak yatim Raudhatul Al Faeez di Gombak yang terbakar pada 23 November lalu, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri percaya perhimpunan pada 8 Disember ini mungkin turut membangkitkan isu rakyat seperti masalah kejatuhan harga getah dan sawit selain hal ehwal kepentingan orang Melayu.

Perhimpunan itu akan dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan melahirkan rasa syukur kerana kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Namun, Ismail Sabri berkata, isu lain yang turut menimbulkan kebimbangan rakyat dan orang Melayu sukar dihalang untuk dibangkitkan dalam perhimpunan sebegitu.



“Isu-isu rakyat mungkin disentuh kerana ada yang menderita akibat kejatuhan harga sawit dan getah serta harga barang tidak menurun. Rakyat mahukan pembelaan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, sekiranya perhimpunan itu mendapat kelulusan pihak berkuasa, ahli partinya di Selangor sedia memberi sokongan penuh untuk menyertai perhimpunan itu. - UTUSAN