MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

Walaupun amat meragukan dan turut dipersoal bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang tentunya lebih tahu perjalanan sebenar isu tanah Ijok kerana beliaulah yang merampas dan mempertahankannya di mahkamah, kepimpinan Moha­med Azmin tetap menganggapnya sebagai langkah penyelesaian menang-menang.

Sehingga kini, sukar untuk sesiapa pun ‘hadam’ maksud menang-menang tersebut. Apakah dengan tindakan Mohamed Azmin melepaskan semula tanah kerajaan negeri kepada dua syarikat bermasalah, LCBN Sdn. Bhd. (LCBN) serta Mujur Zaman Sdn. Bhd. (Mujur Zaman) yang ber­status RM2 dan tidak aktif itu boleh ditakrifkan sebagai menang-­menang.

Atau apakah dengan membenarkan LCBN dan Mujur Zaman menjual pula tanah itu kepada syarikat yang didakwa ‘berwibawa’ pada harga pasaran RM1.18 bilion, tetapi cuma membayar pampasan pada harga lama kepada 981 peneroka, iaitu melibatkan kos RM421 juta itu dianggap menang-menang dalam kotak pemikiran Mohamed Azmin?

Jika itulah gambaran menang-menang Mohamed Azmin, sesiapa sahaja dapat mencongak bahawa pihak yang mengaut keuntungan terbesar ialah LCBN dan Mujur Zaman kerana masih memiliki baki RM757 juta yang sehingga kini tidak diketahui ke mana ia dibelanjakan atau kepada siapa wang tersebut disalurkan.

Namun, apa yang pasti dengan penahanan enam individu termasuk dua bergelar Datuk hari ini, di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor, ternyata istilah menang-menang yang digunakan Mohamed Azmin dalam mewajarkan penyelesaian di luar mahkamah itu, hanyalah usaha terdesaknya untuk menutup skandal tersebut.

Ini kerana ia membongkar kepada cerita kronisme yang barangkali cuba disembunyikan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan di sebalik penjualan tanah tersebut kerana meskipun baru di peringkat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kenapa sebahagian daripada wang tersebut disalurkan kepada syarikat tidak berkaitan amat mengejutkan.

Kini semuanya terletak kepada Mohamed Azmin. Beliau perlu segera tampil untuk menjelaskan persoalan ini dan bukan lagi menggunakan taktik lapuk menuding jari kepada pihak lain atau menyalahkan SPRM kerana jika benar beliau mempraktiskan ketelusan dan akauntabiliti dalan pentadbirannya, Mohamed Azmin perlu berani berdepan dengan siasatan pihak berkuasa.-UTUSAN ONLINE