Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati keputusan SPR yang tidak membenarkan beliau bertanding dan mengundi selama lima tahun adalah tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sivarraajh, 43, yang juga Naib Presiden MIC memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 31 Disember tahun lalu bagi memohon perintah untuk membatalkan keseluruhan keputusan SPR yang tidak membenarkan beliau bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya untuk tempoh masa lima tahun bermula 13 Disember lalu.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa laporan Hakim Pilihan Raya bertarikh 13 Disember lalu  adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 37 (1)(a)(i) dan (ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa keputusan SPR itu adalah tidak sah dan bersifat penindasan terhadap pemohon.

Sehubungan itu, pemohon menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas.

Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN. - UTUSAN ONLINE