Sivarraajh yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, laporan berkenaan membabitkan pengaruh yang tidak wajar seperti Bahagian III di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya dan perkara itu jelas membuktikan Manogaran telah melakukan kesalahan.

Beliau berkata, laporan tersebut membabitkan pemberian wang oleh Manogaran kepada warga Cameron Highlands pada 15 Oktober 2017 dan pemberian mesin rumput kepada Orang Asli pada 6 Mei tahun lalu iaitu ketika tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Laporan ini juga membabitkan kes terbaharu yang tular di media sosial baru-baru ini iaitu berkenaan pemberian wang oleh wakil atau ejen Manogaran kepada Orang Asli ketika tempoh berkempen PRK Cameron Highlands. Saya juga membuat laporan mengenai ugutan terhadap tok batin.

“Tujuan saya membuat laporan ini bukan untuk membalas dendam tetapi demi mencari keadilan memandangkan saya menjadi mangsa di bawah petisyen pilihan raya yang telah dikemukakan oleh Manogaran,” katanya ketika dalam sidang akhbar selepas membuat laporan kepada SPRM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sivarraajh memaklumkan beliau kehilangan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas hakim mengatakan duit minyak serta duit rokok adalah sama untuk membeli undi dan sekarang jelas bahawa Manogaran PH telah melanggar dan melakukan perbuatan yang sama di PRK kawasan itu. - UTUSAN ONLINE