Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin matlamat itu boleh dijayakan melalui inisiatif baharu iaitu Persekolahan Digital yang berupaya memberi pendedahan kepada generasi masa depan untuk memperoleh ilmu yang sesuai dengan zaman mereka.

“Sehubungan itu, amatlah wajar Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Majlis Penasihat Pendidikan Nasional memperhalusi pendidikan dan persekolahan digital itu yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi pemerkasaan serta kesinambungan Dasar Pendidikan Negara.

“Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah percambahan minda kreatif dan la­teral anak-anak dengan tidak menjadikan mereka sebagai tikus uji kaji,” katanya ketika berucap me­rasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memberi penekanan tentang penggunaan perisian interaktif digital sebagai media pembelajaran bestari, memperkasakan konsep pembelajaran sepanjang hayat melalui perkembangan teknologi serta memberi lebih keutamaan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam perkembangan ber­kait­an, beliau menyatakan, inisiatif Pre­siden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan Zon Perdaga­ngan Bebas Digital (DFTZ) merupakan manifestasi komitmen tahap tinggi kerajaan dalam menyediakan peluang perniagaan dalam talian.

Ahmad Zahid seterusnya menyeru kepada seluruh rakyat termasuk usahawan Melayu dan para perwakilan agar merebut peluang perniagaan baharu tersebut.

“Kita mesti menerajui dunia digital ini bukan sekadar penonton dan pengikut tetapi kita juga harus menjadi pemain dan pemacu utama,” jelasnya.