Ketua-ketua bahagian itu juga sewajarnya berpijak di bumi nyata kerana tidak mempunyai sebarang hak menjatuhkan Ahli Parlimen Muar itu susulan kenya­taan Syed Saddiq berhubung isu pemberian kontrak dan jawatan yang dibangkitkannya.

Ketegasan itu disuarakan Exco Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang berpandangan beberapa ketua bahagian itu mungkin terperangkap dengan pemikiran sewaktu era pentadbiran terdahulu.

Beliau juga menolak mentah-mentah kemungkinan ada dalam kalangan ketua-ketua bahagian akan bertindak ‘membeli’ kepemimpinan sayap pemuda itu dalam usaha mahu memecahbelahkan sayap parti tersebut dan menyingkirkan Syed Saddiq.

“Setiap ketua bahagian yang terlibat dengan gerakan ini perlu tahu bahawa mereka tiada hak untuk menjatuhkan Syed Saddiq. Ini semua ibarat angan-angan Mat Jenin sahaja. Mereka (ketua bahagian) perlu ukur baju di badan sendiri.

“Saya yakin setiap ahli Armada berdiri teguh di belakang Syed Saddiq. Tak mungkin terjadi usaha ‘membeli’ ahli Armada kerana ketua-ketua bahagian ini pun bukan ada duit. Mereka sendiri pun tidak tahu menjaga Armada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengu­las kenyataan Syed Saddiq yang tidak akan tunduk kepada tekanan beberapa ketua bahagian yang mahu menyingkirkannya rentetan kenya­taannya menentang isu pemberian kontrak kerajaan.

Namun begitu, Mohd. Ashraf Mustaqim berpendapat tidak semua ketua bahagian parti tersebut yang berpendirian sedemikian, malah menyifatkan isu berkenaan hanya melibatkan sebilangan kecil sahaja.

“Kita faham inilah politik sebenar. Kita tidak nafikan sebahagian besar ketua bahagian ini sememangnya bagus dan berjuang demi parti. Mungkin sebahagian kecil ini masih tidak memahami agenda pembaharuan yang sedang dilakukan,” ujar beliau.

Tambah Mohd. Ashraf Mustaqim, Armada bersedia mengadakan perjumpaan dengan gerakan tersebut bagi menyelesaikan isu itu secara berhemah.

“Walau apa pun yang berlaku, kita perlu mengutamakan parti. Saya tahu semua sayangkan Bersatu. Bila berlakunya perkara seperti ini orang ramai juga perlu faham bahawa tidak berlaku perkara sedemikian dalam Bersatu kerana parti ini sememangnya tidak mengamalkan pemberian kontrak,” katanya lagi.