IDRIS HARON

MINGGUAN: Efektifkah jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 ini?

IDRIS: Sebilangan dari kita ini buat kerja ikut struktur sistem sedia ada. Maknanya, kita tak fikir parti pembangkang ini cukup licik, gemar cerita bukan-bukan dan mereka-reka sesuatu ke arah menghasut rakyat.

Kita fikir pembangkang ini baik macam kita. Kita buat kerja kita sahajalah. Sedangkan dengan kepesatan maklumat dalam media sosial, didapati sebahagian besar komponen besar rakyat ambil cerita dari media sosial tanpa sebarang periksa dan imbang (check and balance).

Adakah ini bermakna jentera BN tidak efisien?

Sebenarnya dalam politik, jentera sesebuah parti itu terbahagi pada empat kumpulan. Kumpulan pertama ialah yang buat kerja dan melapor kerja dengan baik. Kumpulan kedua ialah dia buat kerja tetapi tak lapor. Kiranya, biar Tuhan dan rakyat tahu cukup­lah.

Kumpulan ketiga pula ialah dia tak buat kerja tapi lapor dia buat kerja. Mereka ini rileks sahaja tapi akan keluarlah esok beri­ta dia buat kerja itu ini. Dia ambil gambar, balik dan laporkan dia buat kerja. Kumpulan ini ramai terutama dalam kalangan pembangkang. Sementara kumpulan keempat pula adalah yang tak buat kerja dan tidak buat laporan langsung.

Mana satu kumpulan yang le­bih baik?

Kumpulan ketiga yang anggap kerja kita kerana Allah dan masyarakat akan tahu siapa punya keberhasilan kerja itu paling banyak terdapat dalam kerajaan dan BN.

Sebenarnya ini 'tak baik’. Kita mesti buat kerja dan laporkan. Kumpulan yang buat kerja de­ngan sediakan khidmat terbaik tapi tak lapor dan berkongsi dengan rak­yat kerja mereka, sebenarnya le­bih buruk daripada yang tidak buat kerja langsung tapi laporkannya. Ini kerana masyarakat lebih terima kumpulan yang aktif di media sosial padahal mereka rileks sebenarnya.

Inilah dikatakan 'lembu punya susu, sapi dapat nama’ - kerajaan yang mengerjakannya tapi pembangkang yang ambil kesempatan dan akhirnya mereka ini lebih diterima dalam masyarakat. Contoh semasa banjir. Yang buat kerja ialah wakil rakyat BN yang turun hantar gula atau beras. Dia buat kerja tapi tak lapor dalam media sosial.

Kemudian, datang satu kumpulan orang ini pakai lawa-lawa, bersalam dengan mangsa banjir dan ambil gambar. Kumpulan inj sebenarnya dalam konteks hari ini diterima daripada yang buat kerja. Jentera BN kena tingkatkan kualiti mereka. Kita tak nak yang buat kerja tapi berlakon buat kerja.

Jadi, kelemahan ini perlu dibaiki segera?

Ya, kelemahan dalam bentuk laporan. Kalau ada laporan pun laporan pada ketua kita, bukannya laporan kepada kumpulan yang bakal mengundi, yang lengkap ke Internet terutama Instag­ram, Facebook dan WhatsApp.

Tak timbulkah nanti tanggapan 'masuk bakul angkat sendiri’?

Kita mesti melaporkan apa yang kita buat. Contoh yang terdekat di Parlimen Bukit Katil. Jentera BN yang turun padang bantu rakyat ialah kumpulan Tan Sri Mohd. Ali Rustam. Mana perginya wakil rakyat di situ. Dia datang sekali-sekala ambil gambar dan beritahu pula pada masyarakat kononnya dialah yang suruh kumpulan Ali Rustam buat kerja.

Inilah sindrom orang hilang setelah empat tahun datang balik. Siapa dia? Wakil rakyat pembangkanglah kerana demam pilihan raya.